Jun 20, 2013

Anak Tipu Emak


AYER KEROH - Padah menipu wang ibu sendiri membabitkan lebih RM13,000, seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai E-Kasih dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menjatuhkan hukuman terhadap Norhasbul Md Noor, 28, selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan memperdaya warga emas berkenaan yang disabitkan ke atasnya.

Norhasbul yang merupakan peniaga didapati melakukan kelima-lima pertuduhan bersama bekas isterinya, Zuraini Muhamad, 24, memperdaya Madiyah Ibrahim, 56, dengan menyamar sebagai pegawai E-Kasih hingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM13,100.

Kesalahan membabitkan wang serendah RM50 hingga RM5,000 itu dilakukan mereka di Bank Simpanan Nasional (BSN) Malim Jaya di sini, antara 30 Julai dan 27 Ogos 2012.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Peguam Muhammad Hazri Hanafi yang mewakili tertuduh ketika rayuan memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kepada anak guamnya yang telah insaf dan melakukan kesalahan tersebut kerana kekangan wang.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Maisarah Kamal yang mengendalikan kes bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran.

Selepas mempertimba-ngkan permohonan kedua-dua pihak, Azhaniz menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi pertuduhan pertama, 18 bulan (kedua) dua tahun (ketiga), 30 bulan (keempat) dan tiga tahun (kelima).

Beliau bagaimanapun mengarahkan hukuman dijalankan secara serentak dari tarikh ditangkap pada Mac lalu, selain turut menetapkan sebutan semula kes terhadap Zuraini yang mengaku tidak bersalah pada 19 Julai depan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita mengaku daripada E-Kasih yang bertanyakan pelbagai soalan dan menawarkan lot kedai di Taman Krubong Jaya, awal tahun lalu.

Sebagai proses mendapatkan lot itu, mangsa diminta membuat beberapa pembayaran termasuk berkaitan wang proses dan pendawaian selain kononnya mahu mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia dan pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Semua wang itu dimasukkan ke dalam akaun bank tertuduh dan mangsa yang mengesyaki sesuatu tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

©Eriyza : Lebih baik minta ampun dengan mak.

Via : Sinar Harian


0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.