Jul 14, 2013

Budak Kena Tembak


GEORGETOWN - Lain yang disasar lain pula yang menjadi mangsa. Itu yang berlaku dalam satu kejadian di Pangsapuri Golf View Bukit Jambul di sini apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun menjadi mangsa selepas ditembak seorang lelaki ketika dia menemani bapanya berjumpa rakan di bawah pangsapuri berkenaan malam kelmarin.


Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.45 malam itu, mangsa ketika itu dikatakan berada di sebelah bapanya yang sedang bersembang dengan seorang kenalan di kerusi batu di bahagian bawah pangsapuri berkenaan sebelum didatangi seorang lelaki menunggang motosikal jenis Yamaha LC berwarna putih.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, hasil maklumat awal mendapati, suspek dilihat memakai jaket hitam, bertopi kaledar terus melepaskan beberapa das tembakan secara rambang menyebabkan ketiga-tiga mereka lari menyelamatkan diri.

Menurutnya, tembakan suspek yang tersasar turut menyebabkan dua buah kenderaan jenis Nissan Sentra dan Toyota Unser penduduk rosak terkena serpihan tembakan.

Akibat kejadian itu, kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kaki selain kepalanya cedera akibat terkena serpihan peluru.

Difahamkan, bapa kanak-kanak berkenaan berusia 33 tahun yang bekerja sebagai penarik kereta dan tinggal di sekitar kawasan Sungai Tiram, Bayan Lepas.

Mazlan berkata, sebaik melihat keadaan anaknya cedera, mangsa dibawa ke sebuah hospital swasta di Bayan Baru di sini bagi mendapatkan rawatan dan difahamkan mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil setelah menjalani pembedahan.

Sementara itu, Mazlan berkata, siasatan awal terhadap bapa mangsa memaklumkan sebelum kejadian dia melihat suspek menunggang motosikal mengelilingi kawasan perumahan berkenaan sebelum melepaskan tembakan ke arah mereka.

Katanya, siasatan polis di tempat kejadian juga menjumpai lapan kelongsong peluru jenis 9 MM bertulis Thai Arms dan dua slug di beberapa tempat di bawah pangsapuri berkenaan.

“Turut ditemui beberapa kesan darah dipercayai darah mangsa dan sepasang kasut miliknya manakala semakan pada kamera litar tertutup hanya fokus pada pintu lif dan pergerakan suspek jauh serta tidak jelas.

“Setakat ini kita masih lagi menyiasat motif sebenar kejadian ini dan kita percayai ia mungkin berkaitan dengan kumpulan pengedaran dadah,” katanya kepada media ketika ditemui di lokasi kejadian kelmarin.

Mazlan berkata, siasatan polis mendapati bapa mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api.

©Eriyza : Simpati pada mangsa yang masih kecil.

Via : Sinar Harian



0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.