Oct 3, 2013

Pemuda Ditikam Kerana Perempuan


MARANG - Gara-gara berebut seorang wanita, sekumpulan lelaki sanggup bergaduh sebelum salah seorang daripada mereka mati ditikam, dalam satu kejadian di hadapan kedai makan Ali Baba Corner, Kampung Bukit Parit, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa, Abdul Fariq Manah, 20, dari Kampung Jerong Seberang, di sini, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, kira-kira jam 10.11 malam akibat cedera terkena tikaman di jantung.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 9.15 malam memaklumkan terdapat satu pergaduhan sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, orang awam memberitahu terdapat seorang lelaki cedera ditikam tetapi sudah dihantar ke Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan dengan motosikal oleh ahli keluarganya sendiri,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, semalam.

Manoharan berkata, siasatan mendapati sejam sebelum kejadian, mangsa bersama dua adik-beradiknya dan enam lagi individu dari Kampung Durian Penjara, di sini, dikatakan berjanji untuk bertemu di lokasi kejadian bagi menyelesaikan masalah berhubung teman wanita antara adik mangsa dan abang kepada suspek utama berusia 17 tahun.

“Adik mangsa berusia 16 tahun dikatakan telah merampas teman wanita kepada abang suspek utama berusia 20 tahun sebelum ini dan pada awalnya, perbincangan dua kumpulan itu difahamkan berjalan dengan baik sebelum keadaan menjadi serius apabila mereka mula bertengkar mulut, bagaimanapun berjaya dileraikan pemilik kedai berkenaan.

“Namun, pertengkaran itu tidak berakhir di situ kerana tidak lama kemudian, beberapa lagi ahli kumpulan dari Kampung Durian Penjara, di sini, datang semula ke lokasi sebelum berlaku insiden tikaman itu,” katanya.

Manoharan berkata, hasil maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu dan IPD Marang segera menjalankan usaha memburu kesemua suspek.

“Dengan ketangkasan polis, tujuh suspek berusia antara 15 hingga 21 tahun termasuk tiga yang masih bersekolah dengan dua daripadanya bakal menduduki PMR esok (hari ini) ditahan.

“Selain itu, dua adik-beradik mangsa berusia 16 dan 21 tahun turut ditahan manakala suspek utama yang berusia 17 tahun dan tidak lagi bersekolah bersama abangnya berusia 20 tahun juga ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Bagaimanapun kata Manoharan, ketika ini, polis sedang berusaha mengesan pisau yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa kerana suspek utama dikatakan telah menyerahkan senjata itu kepada seorang lagi rakannya berusia 15 tahun yang turut berada di lokasi sejurus kejadian.

“Remaja itu yang juga merupakan calon PMR esok (hari ini) akan ditahan dan setakat ini, jumlah keseluruhan yang ditahan ialah seramai sembilan orang.

“Kita hanya mengesan satu senjata yang digunakan dan siasatan masih dijalankan sama ada terdapat lagi senjata lain atau individu lain yang mungkin terbabit dalam kes ini,” katanya.

Kesemua suspek kini direman tujuh hari bermula semalam untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata maut dalam rusuhan.

Manoharan turut mengharapkan kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berhubung pergaduhan itu dapat tampil menghubungi IPD Marang atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

©Eriyza : Cantik sangatkah budak perempuan itu sehingga menjadi rebutan yang melibatkan pertumpahan darah??

Via : Sinar Harian





0 Comment

Post a Comment

Gunakan tatabahasa yang betul sewaktu menulis komentar agar mudah difahami oleh penulis. Terima kasih. :-)

Sila ambil perhatian perkara² berikut :-

1. Tinggalkan nama dan url blog atau laman web anda.
2. HTML tag seperti <b>, <i>, <a> boleh digunakan.
3. Sila berhemah di dalam berbahasa.